Sunday, May 24, 2009

Kata-kata Aluan Pengetua Kanan SMKDSN

YM Raja Hasmiah bt Raja Sirajudin
( Pengetua Kanan SMKDSN
)

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
ASSALAMUALAIKUM W.B.T.
SALAM BAHAGIA.


Selamat Datang ke dunia siber Sekolah Menengah Dato' Shamsudin Nain, Rantau, Negeri Sembilan.Bersyukur kepada Allah dengan izinnya, SMK DSN berjaya membangunkan laman webnya untuk menambah kriteria pembestarian sekolah. Kejayaan ini juga sebagai satu usaha untuk merapatkan jurang ICT antara sekolah kawasan luar Bandar dengan sekolah di Bandar seperti yang dituntut dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan - Teras 2 : Membangunkan Modal Insan, dan Teras 4 : Merapatkan Jurang Pendidikan.Saya sebagai Pengetua menyedari bahawa Pembestarian Sekolah adalah satu proses berterusan kearah pembudayaan penggunaan ICT dalam pendidikan bagi meningkatkan lagi kualiti sekolah dalam semua aspek. Laman web ini salah satu saluran penting dalam alam siber bagi memupuk semangat mahu menguasai ilmu dan membudayakan warga sekolah ini mengikuti perkembangan dunia kini.Kejayaan ini adalah hasil penggembelengan tenaga, usaha, belanja, idea PIBG dengan guru-guru. Pihak PIBG diterajui oleh NYDP yang sentiasa bersemangat dan komited dalam menjayakan pembangunan Laman Web SMK DSN bagi memastikan usaha ini menjadi nyata. Ada ilmu, kemahiran dan kesungguhan selalunya menjanjikan kejayaan.Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat, semoga kemudahan ini memudahkan bekas-bekas murid, bekas warga SMK DSN mengikuti perkembangan sekolah melalui jalur lebar dan secara tidak langsung berpeluang memberi sumbangan kepada sekolah. Dengan cara ini, penambahbaikan untuk memajukan sekolah boleh dilakukan dari semasa ke semasa kerana pelbagai pihak berpeluang mengamati dan menilai disamping memberi pandangan yang boleh membawa SMK DSN lebih jauh maju ke hadapan, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sekolah-sekolah di Bandar.Manfaat prasarana yang telah dilengkapi oleh Kementerian Pelajaran, pasti dinikmati murid sebanyak mungkin dan ditingkatkan agar perkongsian pintar dengan pihak lain boleh meninggikan Self-Esteem murid SMKDSN dan yakin untuk berjaya dengan cemerlang. Mensyukuri nikmat adalah dituntut maka hendaklah terus berusaha merebut semua peluang yang ada dan selialah semua kemudahan yang ada.NAIN'S terus mengatur langkah menempa kecemerlangan.

Wabillahi Taufik Walhidayah wassalamualaikum w.b.t.

No comments:

Post a Comment